11 Petua Membantu Pesakit Demensia Tidur Lebih Lena Waktu Malam - MalaysiaCaregiving Support
11 Petua Membantu Pesakit Demensia Tidur Lebih Lena Waktu Malam
Tidur berkualiti boleh menjadi cabaran terutamanya untuk pesakit demensia dan juga penjaganya. Terokai sundowning dan petua untuk menangani masalah ini.
Kenapa Pesakit Demensia Mengalami Masalah Tidur?
Kualiti tidur yang rendah adalah perkara normal bagi golongan warga emas, namun ia kebiasannya lebih teruk bagi mereka yang mengidap Alzheimer. Lebih kurang60% hingga 70%pesakit demensia mengalami kesukaran tidur.
Antaranya punca gangguan tidur dialami oleh pesakit demensia ialah:
- kesan penyakit Alzheimer pada otak
- sindromsundowning
- kesan sampingan ubat-ubatan
- tidak aktif akibat kekurangan aktiviti fizikal pada siang hari
- mengalami penyakit mental (contohnya kemurungan)
- sensitif pada bunyi kuat
Apakah Sindrom Sundowning?
Sundowningataulate-day confusionmerujuk kepada perubahan kelakuan pada pesakit demensia atau Alzheimer yang selalunya berlaku ketika lewat petang dan boleh melarat hingga waktu malam.
Puncasundowning
Para penyelidik berpendapat sundowning mungkin terjadi disebabkan oleh gangguan pada irama sirkadian yang sepatutnya berperanan untuk mengawal kitaran tidur-bangun kita secara semula jadi.
Gangguan pada irama sirkadian dalam kalangan pesakit demensia boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti:
- Kerosakan sel otak yang terjejas akibat penyakit demensia
- Ketidakseimbangan hormon akibat penuaan
- Kurang pendedahan pada cahaya pada siang hari
- Keletihan pada lewat petang yang membawa kepada perubahan mood
Gejalasundowning
Simptom sundowning dalam kalangan pesakit demensia agak sukar untuk dijangka kerana ia tidak konsisten dan boleh berubah dari semasa ke semasa.
Beberapa gejala biasa bagi sindrom sundowning yang anda boleh perhatikan termasuk:
- Kegelisahan dan kebimbangan
- Kekeliruan
- Kerap mundar-mandir tanpa tujuan
- Duduk bergoyang
- Menangis secara tiba-tiba
- Kedegilan
- Berjalan rapat mengikut belakang penjaga atau individu lain ke mana-mana (shadowing)
Simptom sundowning juga boleh menjadi lebih teruk seperti:
- Berkelakuan agresif
- Menjerit atau meninggi suara
- Berhalusinasi
- Rasa paranoid
- Menyorok barang-barang tertentu
- Merayau pada waktu malamWarga emas tanpa demensia turut berkemungkinan untuk mengalami gejalasundowning. Namun, risiko lebih tinggi bagi pesakit demensia tahap sederhana dan tahap teruk. Ketahui lebih lanjut mengenaiperingkat-peringkat demensiadalamartikel ini.
Jenis Masalah Tidur Yang Dialami Penyakit Demensia
Gangguan tidur menjadi lebih kerap dan teruk apabila tahap penyakit demensia beransur serius. Antara contohjenis masalah tiduryang lazim dihadapi oleh penyakit demensia atau warga emas secara umum ialah :
- Insomnia
- Apnea tidur obstruktif (OSA)
- Sindrom kaki gelisah (RLS)
Cara MengatasiSundowning: Petua Menangani Masalah Tidur Bagi Pesakit Demensia
Strategi efektif dalam menggalakkan tidur yang lena bagi pesakit demensia bermula daripada perubahan pada gaya hidup dan kawalan tingkah laku.
1.Praktikkan rutin pagi dan rutin tidur
Rutin memainkan peranan penting dalam menguruskan pesakit demensia. Anda boleh tetapkan jadual harian mereka di mana waktu bangun, waktu makan, dan waktu tidur adalah konsisten setiap hari. Dengan cara ini, secara tidak langsung ia menjadi panduan bagi mereka untuk mengetahui masa tertentu.
Apabila mereka sudah dilatih untuk melakukan perkara yang sama setiap hari, ia dapat mengurangkan kegelisahan pada pesakit demensia dan ini boleh membantu menangani stres pada penjaga.
Petua :Menyesuaikan pesakit demensia dengan sesuatu rutin bukan tugas yang mudah. Anda boleh cuba membiasakan mereka dengan waktu bangun yang tetap dahulu kerana sebaik sahaja mereka lambat bangun, rutin lain dalam jadual harian seperti waktu tidur juga akan terkesan. Penggunaan jam loceng juga digalakkan.
2. Susun aktiviti fizikal mengikut kesesuaian pada siang hari
Walaupun keupayaan fizikal bagi pesakit demensia semakin terjejas atas sebab faktor umur, tidak bermakna senaman patut diabaikan.
Aktiviti fizikal memainkan peranan penting untuk memastikan insan tersayang anda kekal aktif dan bagi mengelakkan mereka selalu di atas katil sepanjang hari atau tidur panjang pada waktu siang. Apabila tenaga digunakan pada siang hari, mereka akan mula rasa letih menjelang malam, seterusnya membantu meningkatkan kualiti tidur.
Petua :Anda boleh merancang aktiviti yang memerlukan banyak tenaga (seperti senaman, aktiviti berkumpulan, interaksi sosial, dan temujanji doktor) pada sesi pagi atau tengah hari. Manakala, aktiviti yang lebih santai contohnya mendengar muzik, membaca, dan melipat baju boleh dibawa ke lewat petang hingga sebelum waktu tidur.
3. Mengawal kekerapan tidur siang
Tanpa aktiviti fizikal dan pergerakan badan, pesakitdemensiaakan cenderung untuk rasa bosan, lesu, dan mengantuk. Akibatnya, tidur yang berpanjangan pada siang hari menjadikan mereka lebih aktif pada waktu malam seterusnya sukar untuk lelapkan mata.
Petua :Anda boleh tetapkan tidur siang pendek pada jadual masa dan di tempat yang sama setiap hari. Tempoh masa untuk tidur pendek tersebut juga perlu konsisten agar insan tersayang anda mampu untuk membiasakan diri.
4. Wujudkan suasana bilik yang tenang
Pesakit demensia perlu diberikan ruang tidur yang selesa dan jauh daripada gangguan, terutamanya jika mereka tinggal di rumah bersama keluarga yang mempunyai kanak-kanak, ataupun yang berkongsi bilik dengan warga emas lain di rumah orang tua.
Petua :Pastikan bilik insan tersayang anda khusus untuk kegunaan tidur sahaja. Ini akan bertindak sebagai isyarat persekitaran baginya agar tiap kali masuk ke bilik, ia menandakan sudah tibanya waktu tidur. Bina rutin tidur yang menenangkan seperti mendengar muzik kesukaanya atau membacakan buku cerita. Lampu tidur yang malap dan suhu yang sesuai juga digalakkan.
5. Memberi pendedahan cahaya yang secukupnya
Irama sirkadian yang mengawal kitaran tidur-bangun kita bergantung pada tahap hormon melatonin (hormon tidur) dalam badan. Dalam keadaan yang gelap, badan kita menghasilkan lebih banyak melatonin untuk menggalakkan tidur.
Ini akan menjadi masalah bagi pesakit demensia yang jarang keluar dari rumah atau yang kerap duduk di dalam bilik pada siang hari oleh kerana kekurangan cahaya.
Petua :Buka langsir bilik pada awal pagi dan bawa mereka ke kawasan luar untuk mendapatkan cahaya semula jadi matahari.Suasana yang terang akan menjamin tahap melatonin yang rendah dan akan membuatkan insan tersayang anda lebih terjaga. Bagi pesakit demensia yang mempunyai mobilit terhad, penggunaan terapi cahaya terang digalakkan.
6. Hindari aktiviti rangsangan tinggi pada lewat petang
Lewat petang adalah masa untuk pesakit demensia berehat agar badan dan minda mereka dapat bersedia untuk waktu tidur.
Petua: Pastikan mereka tidak melakukan aktiviti yang merangsang minda seperti menonton televisyen atau main teki silang kata pada lewat petang atau ketika terbangun pada waktu malam.
7. Elakkan perangsang
Hadkan pengambilan bahan-bahan yang boleh merangsang minda dan akan menyebabkan kesukaran untuk tidur, sekurang-kurangnya 4 jam sebelum waktu tidur.
Antaranya ialah:
- kandungan kafein dalam teh, kopi, coklat, dan minuman berkarbonat
- alkohol
- tembakau dan nikotin
- makanan manis
Jika insan tersayang anda ialah peminum teh atau kopi tegar, anda mungkin boleh cuba memberikan jenis yang tanpa kafein.
8. Kawal pengambilan minuman
Sama seperti warga emas lain, faktor usia menyebabkan pesakit demensia jarang rasa haus walaupun mereka kurang minum air.
Namun, masalah dehidrasi bagi penyakit demensia lebih teruk disebabkan oleh fungsi otak yang terjejas. Akibatnya, mereka sering lupa untuk minum air serta sukar untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling apabila ingin minum.
Walaupun minum air secukupnya sangat penting bagi kesihatan mereka, pengambilan minuman yang banyak boleh membuatkan mereka bangun lebih kerap pada waktu malam untuk ke tandas, justeru menganggu kualiti tidur.
Petua :Galakkan minum air dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Pengambilan air yang banyak boleh dibiasakan pada waktu pagi hingga tengah hari agar keinginan untuk buang air pada waktu malam dapat dielakkan.
9. Berbincang dengan doktor mengenai jadual perubatan
Sesetengah ubat-ubatan seperti antidepresan dan perubatan Alzheimer mempunyai kesan sampingan insomnia.
Petua: Dapatkan nasihat doktor untuk memastikan sama ada pengambilan ubat-ubatan tersebut boleh diambil sebelum lewat petang bagi mengelakkan gangguan tidur malam. Jadual perubatan insan tersayang anda tidak boleh diubah tanpa rundingan pakar kesihatan terlebih dahulu.
10. Cuba mengenalpasti masalah kesihatan lain
Kadangkala, masalah tidur bagi pesakit demensia berpunca daripada kondisi kesihatan lain. Sebagai contoh,apnea tidurboleh mengganggu pernafasan mereka ketika tidur, manakala sindrom kaki gelisah memberi kesan pada sistem saraf yang membuatkan mereka hilang kawal pergerakan kaki.
Petua :Anda boleh berbincang dengan doktor tentang cara menangani masalah kesihatan tersebut. Doktor anda mungkin akan memberikan preskripsi untuk suplemen dan nutrisi tambahan yang boleh membantu.
11. Mendapatkan preskripsi ubat tidur
Kaedah ini hanya akan dibenarkan oleh pakar kesihatan jika langkah lain tidak berkesan. Namun, ia tidak digalakkan kerana terdapat risiko terutamanya bagi pesakit demensia yang berumur kerana ia akan menjadikan kekeliruan mereka bertambah teruk.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan Jika Pesakit Demensia Terjaga Pada Waktu Malam?
Jika insan tersayang anda terbangun kerana mengalami kesukaran untuk tidur, langkah utama yang disarankan adalah untuk menenangkan mereka.
Kadangkala, gangguan tidur boleh disebabkan oleh kesakitan, ketidakselesaan, atau keperluan yang tidak dapat ditunaikan. Anda boleh cuba memulakan perbualan untuk mengetahui puncanya.
Jika mereka sedang dalam keadaan merayau, pastikan anda perhatikan pergerakan mereka dan jangan memaksa untuk kembali tidur kerana ia akan membuatkan insan tersayang anda bertindak lebih agresif. Sebaliknya, pujuk secara lembut dengan mengingatkan mereka ia waktu malam dan sudah tiba masanya untuk tidur.
Dapatkan Bantuan Penjagaan Untuk Yang Tersayang Di Rumah
Memikul tanggungjawab sebagai penjaga kepada pesakit demensia memerlukan penjagaan sepenuh masa oleh kerana perubahan kelakuan mereka yang sukar dijangka.
Tambahan lagi, penyakit demensia sehingga kini masih tiada penawar. Ini bermaksud menangani gejalasundowningserta masalah tidur insan tersayang anda akan menjadi sebahagian daripada penjagaan jangka masa panjang. Tanpa sokongan fizikal dan emosi yang secukupnya, kesihatan anda sendiri lama-kelamaan turut boleh terjejas.
Oleh itu, mendapatkan perkhidmatan demensia profesional seperti yang disediakan oleh penjaga dan pakar terlatih berupaya mengurangkan berat pada bahu anda sebagai penjaga. Antara bantuan diberi dari segi aspek perubatan, terapi fizikal, menjadi peneman, pengurusan rutin harian, dan sebagainya pada setiap peringkat demensia (ringan, sederhana, dan teruk).
Ketahui lebih lanjut mengenaiperkhidmatan demensia !
References
Cleveland Clinic. (2022, April 26).Sundown syndrome.https://my.clevelandclinic.org/health/articles/22840-sundown-syndrome
Desai, N. (2023, May 5). Dementia and sleep: How to manage and treat sleep problems.A Place for Mom.https://www.aplaceformom.com/caregiver-resources/articles/manage-dementia-sleep-problems
Fry, A. (2022, April 21). Alzheimer’s disease and sleep.Sleep Foundation.https://www.sleepfoundation.org/physical-health/alzheimers-disease-and-sleep
Mckeever, A. (2023, March2). Why evenings can be harder on people with dementia—and how to cope.National Geographic.https://www.nationalgeographic.com/science/article/sundowning-syndrome-symptoms-causes-treatments
Petrovsky, D. V., McPhillips, M. V., Li, J., Brody, A., Caffeé, L., & Hodgson, N. A. (2018). Sleep disruption and quality of life in persons with dementia: A state-of-the-art review.Geriatric Nursing, 39(6).https://doi.org/10.1016/j.gerinurse.2018.04.014
8 Best Hari Raya Memories ‘90s Kids Can Relate
Caregiving Support
Makanan Tempatan Yang Perlu Dielakkan Untuk Pesakit Hipertensi
Caregiving Support
Senior Citizen Discounts & Privileges in Klang Valley
Caregiving Support
Tips to Maintain the Health and Wellness of Ageing Men
Perlukan Bantuan Penjagaan?
Jika anda atau ahli keluarga memerlukan bantuan penjaga untuk ibu bapa atau orang tersayang, kami sedia membantu.
🔍 Cari Penjaga Terlatih →
Kami menyediakan penjaga terlatih untuk:
- Penjagaan harian (mandi, makan, mobiliti)
- Penjagaan demensia dan Alzheimer
- Penjagaan pasca-strok
- Penjagaan paliatif
💬 WhatsApp Kami untuk konsultasi percuma.