Perancangan Penting Sebelum Melancong dengan Warga Emas

Perancangan Penting Sebelum Melancong dengan Warga Emas - MalaysiaCaregiving Support

Perancangan Penting Sebelum Melancong dengan Warga Emas

Cabaran melancong dikaitkan dengan faktor usia dan kesihatan boleh diatasi sekiranya perancangan awal disediakan. Ketahui lebih lanjut di artikel ini.

Perancangan Penting Sebelum Melancong dengan Warga Emas

Melancong adalah aktiviti yang disukai ramai terutamanya bagi golongan muda. Namun, bagi keluarga yang bercuti bersama warga emas, ia boleh menjadi sesuatu yang meresahkan bagi penjaga kerana terdapat banyak halangan. Atas sebab ini, ramai warga emas disisihkan daripada perancangan percutian.

Dengan membuat persediaan awal sebelum melancong, percutian anda bersama insan tersayang boleh menjadi salah satu momen terbaik dalam hidup anda.

Cabaran yang Dihadapi oleh Keluarga Apabila Melancong Bersama Warga Emas

Mengetahui kemungkinan yang mungkin berlaku ketika bercuti dengan warga emas dapat membantu mengurangkan stres dan meminimakan risiko kejadian yang tidak dapat dijangka.

Ketidakselesaan semasa perjalanan

Berbeza seperti di rumah, ruang tertutup dan sempit dalam kenderaan menyebabkan insan tersayang andatidak berupaya untuk bebas bergeraksepanjang perjalanan. Keadaan ini akan menghalang mereka daripada dapat melunjurkan kaki atau baring dengan selesa.

Warga emasmudah berasa letih dan lenguh kakiterutamanya apabila mereka harus duduk pada posisi yang sama selama beberapa jam.

Antara isu ketidakselesaan biasa dilalui warga emas ketika melancong seperti:

  • rasa sakit pada bahagian pinggang atau punggung.
  • kaki bengkak (edema), rasa kebas atau kejang disebabkan oleh terlalu lama berjuntai kaki serta pergerakan terhad.
  • lenguh pada bahu dan belakang badan bagi warga emas yang bongkok.

Pengurusan ke tandas

Ramai warga emas mengalami masalahinkontinen urin, iaitu ketidakmampuan untuk mengawal dan menahan kencing. Pundi kencing dan lantai pelvik (bagi wanita yang telah melalui menopaus) yang semakin lemah akibat usia lanjut menjadi punca utama.

Insan tersayang anda akankerap ingin ke tandasdan ini boleh mengganggu jadual perjalanan kerana sering perlu berhenti di kawasan rehat (R&R) atau stesen gas. Malangnya,tidak semua lebuhraya menyediakan R&Ryang berdekatan. Kebanyakan tandas di stesen gas jugatiada ruang khas untuk warga emasatau individu berkerusi roda.

Pengurusan tandas ketika penerbangan turut membawa kesulitan kepada penjaga dan warga emas atas sebabruang yang sempit dan penggunaan air yang terhad.

Perubahan mood

Melancong biasanya adalah suatu pengembaraan yang menyeronokkan kerana anda sekeluarga berpeluang meneroka persekitaran baru. Namun, berada dalamsuasana yang asing boleh menimbulkan kegelisahanpada warga emas.

Bagi pesakit demensia, mereka mungkin akan mengalamisindromsundowningyang selalunya bermula pada waktu petang. Sindrom ini akan membawa simptom seperti rasa cemas, mudah marah, dan bermundar-mandir yang boleh mengganggu mood insan tersayang anda.

Destinasi percutian dan jenis aktiviti terhad

Mobiliti, iaitu keupayaan fizikal untuk bergerak dengan mudah dari satu tempat ke tempat lain menjadi halangan utama bagi warga emas apabila dibawa pergi melancong. Warga emas mengalami kesukaran berjalan jarak jauh, menaiki tangga, dan berdiri terlalu lama.

Bagi menjaga keselamatan insan tersayang semasa percutian,banyak pilihan destinasi dan aktiviti perlu dikecualikancontohnya:

  • staycationdi kawasan perhutanan ataunature retreat. Penginapan di tempat percutian sebegini selalunya tiada lif dan kadangkala perlu merentasi sungai menaiki pacuan empat roda. Anak-anak anda mungkin akan terlepas peluang menikmati aktiviti-aktiviti lasak sepertiwater rafting, menaiki ATV, dan mendaki.
  • tanah tinggi yang bercuaca sejuk.Sesetengah warga emas mungkin tidak mampu menahan suhu rendah. Kebanyakan aktiviti menarik seperti melawati ladang teh dan memetik buah-buahan terpaksa diketepikan kerana ia memerlukan mereka untuk berjalan jauh dan menaiki tangga.

Risiko komplikasi kesihatan

Golongan warga emas berisiko tinggi untuk terdedah kepada masalah kesihatan yang serius ketika melancong, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit kencing manis (diabetes), penyakit jantung, danartritis. Lebih mudah dijangkiti penyakit

Komplikasi biasa yang dialami termasukdehidrasi, strok haba, dan terseliuhatau kecederaan fizikal lain.

Penerbangan jarak jauh dan tanpa henti turut boleh meningkatkan risiko insan tersayang anda untuk mendapatpenyakit trombosis vena dalam (TVD), iaitu penggumpalan darah atau darah beku dalam saluran darah vena biasanya pada betis kaki. Penyakit TVD ini boleh membawa kepada aliran darah tersumbat.

Faedah Melancong Untuk Warga Emas

  • Menggalakkan kecergasan

Membawa insan tersayang anda untuk percutian dapat memberi peluang untuk mereka melakukan pergerakan fizikal ringan yang boleh menguatkan kesihatan jantung seperti berjalan di tepi pantai, bersiar-siar di pekan, atau berbasikal.

Sumber vitamin D daripada cahaya matahari apabila di luar juga dapat diserap ke dalam badan yang berguna untuk menguatkan tulang-temulang.

  • Merangsang minda

Melawat tempat-tempat baru mampu membuka minda warga emas kepada dunia luar setelah meluangkan kebanyakan masa dalam rumah.

Pengalaman melancong seperti melihat pemandangan berbeza dan merasai makanan baru akan mengaktifkan proses kognitif serta menyokong senaman otak.

  • Menguatkan hubungan kekeluargaan

Dalam kesibukan bekerja hari demi hari, percutian memberikan kita peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tercinta bagi memupuk hubungan kekeluargaan yang sihat.

Bukan sahaja warga emas dapat mengenali cucu dan cicit lebih mendalam, ahli keluarga juga berkesempatan untuk berbual serta berkongsi perkembangan terkini dalam kehidupan mereka. Momen sebegini akan menjadi antara kenangan paling bermakna dan berkekalan seumur hidup kita.

  • Meningkatkan kebahagiaan

Warga emas sering rasa terpinggir atas sebab usia dan tahap kesihatan mereka, terutamanya apabila anak-anak mereka sudah mendirikan rumah tangga sendiri.

Mengajak insan tersayang anda pergi melancong adalah salah satu cara terbaik untuk membahagiakan orang tua anda dan membuatkan mereka berasa diingati serta dihargai.

  • Melegakan stres dan kesunyian

Seramaisatu per empat warga emas berumur 65 tahun ke atas dikatakan terasing secara sosialyang boleh membawa kepada masalah kesunyian. Mereka juga mungkin mengalami tekanan daripada melakukan rutin yang sama setiap hari.

Dengan melancong, insan tersayang anda dapat merasai ketenangan dan keterujaan apabila dikelilingi dengan pemandangan alam semula jadi yang cantik. Peluang untuk bersosial bersama ahli keluarga atau pelancong-pelancong lain ketika bercuti turut menambahkan keseronokan yang mungkin sudah lama mereka nantikan.

Aspek untuk Dipertimbangkan Sebelum Melancong dengan Warga Emas

Ketika membuat perancangan, berikut adalah antara aspek-aspek penting yang anda perlu ambil kira bagi memastikan percutian berjalan lancar.

Penginapan

Keutamaan anda apabila mencari penginapan ketika melancong bersama warga emas bukan pada unsur ‘aesthetic’, tetapi padakeselamatan dan kesenangan bergerak.

Antara kemudahan yang anda perlu pastikan tersedia seperti:

  • Lif
  • Tempat parkir kereta berdekatan lif
  • Akses laluan yang mesra kerusi roda
  • Kelengkapan palang pemegang dalam bilik mandi dan tandas
  • Bilik berdekatan dengan lif
  • Lobi berdekatan dengan kawasan bilik
  • Pilihan bilik hotel bersambung (connecting rooms) jika perlu

Berwaspada akan penginapan yang mempunyai harga rendah kerana ia mungkin tidak lengkap dengankemudahan mesra warga emas.

Pengangkutan

Jenis pengangkutan perlu bergantung pada kemampuan dan keselesaan warga emas. Elakkan menaiki kenderaan yang mengambil masa lebih lama untuk tiba di destinasi.

Jika menaikikereta, anda dinasihatkan untuk menggunakan saiz kereta lebih selesa seperti minivan. Ruang kereta yang lebih besar bukan sahaj penting untuk keselesaan penumpang, malah dapat menampung alat mobiliti seperti kerusi roda di bonet kereta.

Jika menaikikapal terbang, sebaik-baiknya anda memilihkan tempat duduk yang mudah bagi insan tersayang anda untuk bangun jika perlu. Sebagai contoh, tempat duduk bahagian hadapan biasanya mempunyai ruang kaki lebih luas dan berdekatan dengan tandas. Sekiranya tiada pilihan, tempat duduk di tepi lorong juga lebih selesa. Jika berkemampuan, anda boleh memilih untuk naik taraf kelas pertama buat anda dan insan tersayang terutamanya bagi penerbangan jauh.

Elakkan menaiki bot apabila melancong ke kawasan pulau.Feriatau kapal terbang (jika ada) adalah pilihan yang lebih selamat buat warga emas.

Jarak perjalanan

Semestinya perjalanan yang pendek adalah lebih baik. Namun jika anda perlu melalui perjalanan yang panjang, pastikanberhenti beberapa kali di R&R. Anda juga boleh cuba membawa insan tersayang anda ke destinasi-destinasi yang dekat dahulu sebelum melancong ke tempat lebih jauh.

Bagi penerbangan jarak jauh ke luar negara, pilihpenerbangan bersama transitagar dapat waktu rehat beberapa jam sebelum meneruskan perjalanan.

Tempat makan

Semasa mencari penginapan, pastikan terdapattempat makan yang berdekatan. Jenis makanan yang dihidangkan perlu termasuk makanan tempatan kerana makanan barat dan makanan segera kurang digemari warga emas.

Cuaca

Sebelum menentukan destinasi percutian, anda perluperiksa dahulu cuaca terkiniuntuk mengelakkan musim hujan atau musim tengkujuh yang merbahaya untuk anda sekeluarga.

Suhu iklim juga penting kerana kebanyakan warga emas tidak mampu bertahan dalam suhu yang sejuk.

Tips Melancong dengan Warga Emas

Melancong dengan warga emas tidak akan menjadi halangan buat anda sekeluarga untuk menikmati masa bersama, jika anda bijak mengurus insan tersayang anda dengan tips-tips ini.

Sebelum melancong

  • Membawa dokumen pengesahan identiti.Anda boleh menyimpan kad pengenalan mereka dalam dompet anda bagi mengelakkan keciciran. Jika perlu membuat pasport, anda perlu membawa insan tersayang anda ke Jabatan Imigresen terdekat untuk pendaftaran (bagi pemohon pertama kali), atau secara dalamtalian(bagi pembaharuan pasport lama sahaja).
  • Mendapatkan pelepasan doktor. Insan tersayang anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan sebelum pergi bercuti, terutamanya bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti masalah jantung. Jika anda merancang untuk melancong ke luar negara, pastikan mereka mendapatkan vaksin atau suntikan penggalak (booster) yang disyaratkan oleh negara tersebut. Sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh meminta dokumen berkenaan rekod kesihatan mereka daripada doktor jika perlu dikemukakan ketika melancong nanti.
  • Membawa ubat-ubatan.Ubat tersebut boleh disimpan dalam kit perubatan yang dipisahkan mengikut hari dan waktu. Anda digalakkan membawa dos lebihan untuk mengelakkan berlaku kehabisan ubat ketika percutian.
  • Membeli insurans perjalanan.Walaupun sering dianggap remeh,insuranssebenarnya boleh melindungi anda daripada pelbagai jenis kecemasan yang tidak dapat dijangka ketika melancong secara internasional mahupun domestik. Antara perlindungan yang perlu diambil kira apabila memilih pakej insurans perjalanan termasuk rawatan perubatan, kehilangan dokumen perjalanan, kerosakan bagasi, penerbangan ditunda, dan kematian atau hilang upaya kekal.
  • Memaklumkan pihak penerbangan jika perlu bantuan khas.Kebanyakan syarikat penerbangan menyediakan perkhidmatan mengiring warga emas dengan kerusi roda sehingga ke tempat duduk dalam kapal terbang. Anda juga boleh berbincang mengenai pengurusan warga emas sepanjang penerbangan.
  • Membawa alat mobilitiseperti kerusi roda, tongkat, atau ‘walkers’. Alat tersebut bukan sahaja berupaya mengurangkan keletihan warga emas ketika bersiar-siar, malah pergerakan mereka juga dapat dipermudahkan.
  • Mengatur itinerari mengikut kemampuan warga emas.Sebaik-baiknya mulakan aktiviti fizikal pada waktu pagi dan lapangkan waktu petang untuk masa berehat. Fleksibiliti dalam perancangan sangat digalakkan.

Semasa melancong

  • Membantu melakukan regangan kaki dan pergerakan jari dalam kenderaan.Warga emas digalakkan memakai pakaian yang longgar agar peredaran darah tidak terganggu. Anda juga digalakkan berhenti di R&R dari semasa ke semasa untuk melakukan regangan badan. Sekiranya dalam kapal terbang, anda boleh membantu insan tersayang berjalan ulang-alik di lorong antara tempat duduk.
  • Memakaikanlampin dewasabagi mengatasi masalah inkontinensia dan mengelakkan kebocoran urin ketika dalam perjalanan. Ia juga memudahkan anda untuk menguruskan kebersihan insan tersayang anda dalam tandas.
  • Membawa keperluan seperti ubat-ubatan, botol air, tisu, dan snek sihat dalam beg kecilagar mudah dicari apabila diperlukan bila-bila masa.
  • Menjaga pemakananmereka. Walaupun sedang bercuti, anda masih perlu memantau diet insan tersayang anda bagi mengelakkan tekanan darah tinggi, gula darah tinggi, gastrik, dan cirit-birit.
  • Menggunakan tandas di tengah kapal terbang.Sesetengah kapal terbang menyediakan tandas yang boleh dibuka dinding tengahnya untuk memberikan ruang lebih besar bagi individu yang memerlukan seperti warga emas atau orang kurang upaya.
  • Memastikan telefon bimbit anda sentiasa sedia untuk digunakanagar dapat menghubungi pihak berkenaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.Pastikan anda tidak lupa untuk membawa pengecas dan ‘powerbank’ sekiranya kehabisan bateri.
  • Mengutamakan keselesaan insan tersayangdan sentiasabertanyakan keadaan mereka ketika dalam perjalanan.

Destinasi Pelancongan Sesuai untuk Warga Emas di Malaysia

Jika anda sedang mencari destinasi percutian yang sesuai untuk keluarga bersama warga emas, berikut adalah senarai tempat yang anda mungkin berminat.

Port Dickson

Source :Travel Weekly

Berada di pantai adalah antara destinasi terbaik buat warga emas disebabkan oleh suasana tenang dan keindahan pemandangan matahari terbenam serta langit terbentang luas.

Di Port Dickson, terdapat berbagai-bagai jenis penginapan termasuk chalet, resort, villa, dan hotel. Sesetengah daripada penginapan ini mempunyai akses terus ke pantai yang mudah untuk anda sekeluarga nikmati.

Cameron Highlands, Malaysia

Source :JomJalan

Jika insan tersayang anda mampu tahan cuaca sejuk, Cameron Highlands adalah destinasi yang wajib dituju. Walaupun kebanyakan tarikan memerlukan naik turun tangga, insan tersayang anda masih boleh menikmati pemandangan luas ladang teh yang menyejukkan mata.

Jika kesempatan, anda boleh singgah di Boh Tea Garden untuk secangkir teh tarik dan pelbagai aneka kek serta pastri sambil menghadap ladang teh. Tempat ini membenarkan anda untuk menghantar warga emas terus di pintu masuk sebelum meletak kereta anda di kawasan parkir.

Penang

Source :myPenang

Jika anda ingin melakukan sesuatu yang berlainan, Penang Hill boleh menjadi destinasi perlancongan anda seterusnya. Antara aktiviti yang akan membuatkan insan tersayang anda teruja seperti menaiki furnicular, melawat museum, dan bersiar-siar di The Habitat yang dikelilingi flora dan fauna.

Di sini juga terdapat beberapa kafe dan gerai makan untuk anda berehat seketika dan menjamu selera selepas letih berjalan.

Kuala Lumpur

Source :Aquaria KLCC

Sebagai ibu kota yang maju, Kuala Lumpur menyediakan pelbagai tarikan yang mesra warga emas dan kerusi roda.

Antara tempat kunjungan popular seperti Aquaria KLCC, KLCC Park, dan Taman Botani Perdana yang pastinya akan membuatkan percutian anda bersama insan tersayang bertambah seronok. References

Centers for Disease Control and Prevention. (2022, January 31).Older adults and healthy travel.https://wwwnc.cdc.gov/travel/page/senior-citizens

Klook. (2020, March 14).12 Family holiday destinations in Malaysia for all types of travellers.

https://www.klook.com/en-MY/blog/family-holiday-destinations-malaysia/

Lifeline. (n. d.).Tips for caregivers traveling with seniors.https://www.lifeline.ca/en/blog-article/tips-for-caregivers-traveling-with-seniors/

New Perspective. (2022, August 6).Traveling with seniors: How to travel with elderly adults.https://npseniorliving.com/the-joys-of-traveling-with-seniors/

Nor Hanisah Kamaruzaman. (2017, Julai 6). Bercuti bawa datuk, nenek.Harian Metro.https://retirement.outlookindia.com/spend/travel/5-benefits-of-travel-for-senior-adults

Yusliza Yakimir Abd Talib. (2018, November 9). ‘Bawalah atuk dan nenek sekali…’.Harian Metro.https://www.hmetro.com.my/hati/2018/11/393836/bawalah-atuk-dan-nenek-sekali

8 Best Hari Raya Memories ‘90s Kids Can Relate

Caregiving Support

Makanan Tempatan Yang Perlu Dielakkan Untuk Pesakit Hipertensi

Caregiving Support

Senior Citizen Discounts & Privileges in Klang Valley

Caregiving Support

Tips to Maintain the Health and Wellness of Ageing Men

Perlukan Bantuan Penjagaan?

Jika anda atau ahli keluarga memerlukan bantuan penjaga untuk ibu bapa atau orang tersayang, kami sedia membantu.

🔍 Cari Penjaga Terlatih →

Kami menyediakan penjaga terlatih untuk:

  • Penjagaan harian (mandi, makan, mobiliti)
  • Penjagaan demensia dan Alzheimer
  • Penjagaan pasca-strok
  • Penjagaan paliatif

💬 WhatsApp Kami untuk konsultasi percuma.