Panduan untuk Penderma Darah Kali Pertama di Malaysia

Panduan untuk Penderma Darah Kali Pertama di Malaysia - MalaysiaCaregiving Support

Panduan untuk Penderma Darah Kali Pertama di Malaysia

Tahukah anda hanya 2.5 peratus rakyat Malaysia yang layak secara fizikal adalah penderma darah? Jika anda penderma buat kali pertama, panduan ini boleh membantu anda dalam persediaan pra, semasa dan selepas derma darah.

Menderma darah adalah sesuatu pengalaman yang menggelisahkan, terutamanya bagi penderma darah kali pertama. Artikel ini akan memberikan segala maklumat asas yang anda perlu tahu sebelum menunaikan pendermaan darah anda yang pertama.

Kepentingan menderma darah

Sumbangan darah anda bermakna bukan sahaja kepada pesakit yang memerlukan, malah kesihatan fizikal anda juga terjaga.

Antara kepentingan fizikal menderma darah termasuk:

  • Berupaya untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa.
  • Menstabilkan jumlah zat besi dalam badan yang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung serta kanser.
  • Menjadikan anda lebih cergas dan bertenaga kerana sel darah merah baru akan dihasilkan.
  • Membakar sekurang-kurangnya 650 kalori pada satu sesi pendermaan darah.
  • Mengetahui keadaan kesihatan fizikal anda melalui saringan kesihatan.

Jenis-jenis pendermaan darah

Darah kita mengandungi pelbagai komponen seperti sel merah, sel putih, platelet, dan plasma. Terdapat dua jenis pendermaan yang anda perlu tahu iaitu:

Pendermaan darah penuh

Jenis pendermaan darah ini adalah yang sering dilakukan. Darah yang telah didermakan kemudian akan dibahagikan kepada komponen-komponenya iaitu sel merah, platelet, dan plasma.

Artikel ini akan fokus kepadapendermaan darah penuhSAHAJA.

Pendermaanapheresis

Untuk pendermaan jenis ini, anda akan menderma platelet atau plasma, atau kedua-duanya sekali menggunakan mesinapheresis.

Mesin tersebut hanya akan mengambil platelet atau plasma atau kedua-duanya, manakala sel merah akan dikembalikan semula ke dalam badan penderma.

Syarat-syarat penderma darah yang layak

Untuk berdaftar sebagai penderma darah secara rasmi, anda perlu memenuhi kriteria-kriteria tertentu, iaitu:

  • Berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun(bagi penderma darah kali pertama)
  • Berumur antara 18 tahun hingga 70 tahun(bagi penderma darah tetap)
  • Berat badan 45 kg ke atas
  • Menetap di Malaysia tidak kurang dari satu tahun(bagi warganegara asing)

PENTING:

  • Individu berumur 17 tahun layak HANYA JIKA diberi kebenaran bertulis oleh ibu bapa atau penjaga
  • Warga emas berusia 60 ke atas yang ingin menderma darah dinasihati untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan kebenaran doktor terlebih dahulu

Syarat-syarat penderma darah yang tidak layak

Tidak semua individu layak untuk menderma darah. Golongan yang tidak boleh menderma darah diberikan penangguhan (deferral) sama ada secara sementara ataupun secara kekal. Tempoh penangguhan bergantung kepada keadaan kesihatan anda.

Penangguhan sementaradiberikan kepada individu yang mengalami masalah kesihatan ringan serta berpotensi untuk beransur pulih. Pendermaan darah dibenarkan SELEPAS TEMPOH TERTENTU apabila kriteria di bawah tidak lagi dialami:

  • paras haemoglobin yang rendah
  • tekanan darah terlalu rendah atau terlalu tinggi
  • berat badan kurang daripada 45kg
  • tidak sihat badan
  • telah menyumbang darah 3 bulan lepas
  • mengambil ubat-ubatan seperti aspirin dan antibiotik
  • baru menerima vaksin
  • baru menjalani prosedur pembedahan kecil mahupun besar
  • sedang hamil, menyusu badan, dan baru 6 bulan selepas bersalin
  • sedang dalam tempoh haid
  • baru sembuh daripada jangkitan Covid-19
  • di bawah pengaruh alkohol

Penangguhan kekaldiberikan kepada individu yang menghidapi masalah kesihatan yang berpanjangan atau kritikal, dan juga golongan yang berisiko tinggi. Pendermaan darah tidak dibenarkan SEPANJANG HAYAT jika anda:

  • menghidapi sebarang penyakit kronik (seperti kanser dan penyakit jantung)
  • mempunyai rekod positif untuk penyakit kelamin seperti HIV/AIDS
  • menjalani hubungan sejenis (homoseksual), biseksual, dan atau dengan pekerja seks
  • mengamalkan cara hidup bertukar-tukar pasangan seks
  • mengambil dadah secara suntikan

Nota : Syarat-syarat di atas hanya merangkumi sebahagian sahaja daripada senarai penuh yang dipaparkan dalam laman web rasmi Pusat Darah Negara.Anda boleh merujuk garis panduan yang lengkapdi siniuntuk mengetahui sama ada anda layak menerima penangguhan sementara, atau tidak dibenarkan menjadi penderma darah seumur hidup.

Bagaimanakah proses pendermaan darah?

Dengan mengetahui situasi proses pendermaan darah yang biasa, perasaan gementar dan takut dapat dikurangkan.

Prosedur pendermaan darah selalunya berjalan seperti berikut:

  • Isi borang pendermaan darah (jika belum diisi dan dicetak sendiri di rumah).
  • Melakukan saringan kesihatan untuk mengetahui berat badan, paras hemoglobin darah, dan kumpulan darah anda.
  • Menjalani sesi kaunseling atau temuduga bersama doktor/staf kesihatan untuk menyemak kelayakan sebagai penderma darah.
  • Membuat pendaftaran sebagai penderma darah (diberi Buku Derma Darah berwarna merah/kad putih/didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera).
  • Proses pendermaan darah mengambil masa antara 10 hingga 15 minit.
  • Berehat seketika di atas katil menderma darah selama beberapa minit.
  • Ambil makanan dan minuman yang disediakan sebelum anda meninggalkan tempat pendermaan darah.

Tips untuk sebelum, semasa, dan selepas menderma darah

Bagi memastikan proses pendermaan darah anda berjalan dengan lancar, anda boleh mengamalkan langkah persediaan dan saranan di bawah.

Sebelum hari pendermaan darah

  • Semak kriteria penderma darah di laman webPusat Darah Negara.
  • Isi dan cetak borang pendaftaran penderma darah (bagi penderma kali pertama). Anda boleh mendapatkan borang tersebut dalam versiBahasa Malaysiadan jugaBahasa Inggeris.
  • Pastikan anda mendapat rehat dan tidur yang cukup, sekurang-kurangnya lima jam.
  • Minum air putih secukupnya, kerana anda akan kehilangan cecair badan ketika proses pendermaan darah. Elakkan minuman berkarbonat dan berkafein seperti teh dan kopi.

Semasa menderma darah

  • Makan secukupnya 4 jam sebelum menderma darah. Digalakkan makan makanan yang sihat dan seimbang, bukan makanan segera.
  • Memakai pakaian yang longgar dan selesa. Jika berlengan panjang, pastikan lengan pakaian tersebut mudah untuk dilipat sehingga bahagian atas lengan.
  • Bersedia dengan kad pengenalan diri/lesen kenderaan/pasport.
  • Melakukan senaman regangan otot sehingga selesai proses pendermaan darah, bagi mengurangkan simptom pening dan pengsan (panduan senaman boleh dirujukdi sini).

Selepas menderma darah

  • Amalkan pengambilan minum air putih dalam tempoh satu hingga dua hari selepas menderma darah untuk mengekalkan hidrasi.
  • Pastikan anda mendapatkan rehat sekurang-kurangnya untuk empat jam pertama selepas menderma darah.
  • Jauhi minuman alkohol sekurang-kurangnnya dalam tempoh 24 jam.
  • Pastikan anda tidak terdedah kepada cahaya matahari secara berterusan (bagi mengelakkan dehidrasi).
  • Elakkan melakukan senaman berat, aktiviti lasak atau mengangkat barang berat dalam tempoh 6 hingga 8 jam selepas menderma darah (untuk mengelakkan bengkak pada kawasan suntikan).
  • Jika berasa pening atau sakit kepala, baring dan berehat untuk buat sementara waktu sehingga kembali pulih (dinasihatkan menaikkan kaki melebihi paras kepala).

Bagaimana jika bahagian suntikan menjadi lebam/bengkak?

Walaupun jarang berlaku, antara langkah penjagaan yang anda boleh lakukan JIKA bahagian suntikan menimbulkan lebam atau bengkak selepas menderma darah, adalah:

  • Letakkan pek ais di bahagian suntikan derma darah pada lengan anda secara berkala.
  • Elakkan daripada menggosok atau mengurut bahagian bengkak tersebut.
  • Kurangkan aktiviti fizikal yang berat ketika proses penyembuhan.
  • Jika lebam/bengkak berlarutan menjadi kesakitan atau anda masih tidak beransur pulih, segera mendapatkan rawatan daripada insititusi kesihatan yang terdekat. Anda juga boleh rujuk kembali pegawai kesihatan di tempat pendermaan darah anda.

PERINGATAN: Segera hubungi talian Pusat Darah Negara (019-216 6084) atau institusi kesihatan yang terdekat, JIKA anda mengalami situasi di bawah dalam tempohsatu minggu selepas pendermaan darah:

  • Berpendapat darah yang didermakan tidak selamat
  • Badan tidak sihat
  • Disahkan positif Covid-19
  • Mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19

Di manakah boleh menderma darah?

Anda boleh menderma darah di pelbagai lokasi seperti berikut:

Pusat pendermaan darah statik/tetap

  • Pusat Darah Negara (Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur)
  • Pusat Darah Negara Donation Suite (Midvalley Megamall)
  • Suite Derma Darah Puspanita (Putrajaya)

Pusat pendermaan darah bergerak

Pendermaan darah yang selalunya bertempat di pusat beli-belah, institusi pengajian tinggi, bangunan kerajaan atau swasta, dan kawasan awam lain.

Hospital kerajaan

  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.
  • Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
  • Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
  • Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan.
  • Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
  • Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu
  • Hospital Pulau Pinang.
  • Hospital Miri, Sarawak
  • Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
  • Hospital Queen Elizabeth II, Sabah.
  • Hospital Melaka
  • Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan
  • Hospital lain

Berapa kerap pendermaan darah yang digalakkan?

Pusat Darah Negara menggalakkan penderma untuk menderma darah sekurang-kurangnyatiga bulan sekali.

Anda tidak dinasihatkan untuk menderma darah lebih dari satu kali dalam masa dua bulan. Badan anda memerlukan masa untuk menghasilkan sel darah merah dan menggantikan semula zat besi yang telah kehilangan daripada pendermaan darah sebelumnya.

Bolehkah menderma darah semasa bulan puasa?

Bagi umat Islam di Malaysia, menderma darah semasa bulan puasa (Ramadhan) bersifatharusdan tidak membatalkan puasa. Anda masih digalakkan untuk menderma darah,KECUALIjika ada kepastian ia akan memudaratkan kesihatan fizikal anda.

Peringatan utama apabila menderma darah ketika berpuasa:

  • Melambatkan sahur.
  • Mengambil makanan berkhasiat dan minuman yang secukupnya ketika bersahur.
  • Pastikan kesihatan badan anda dalam keadaan yang baik.
  • Pernah menderma darah sebelum ini.

Penderma darah kali pertama TIDAK digalakkan untuk menderma darah ketika berpuasa.

Jika mempunyai keraguan badan anda tidak mampu untuk bertahan selepas menderma darah ketika berpuasa, sebaik-baiknya anda menderma darahpada waktu malamsetelah berbuka puasa.

Apakah keistimewaan yang diberi kepada penderma darah?

Sebagai penderma darah, anda layak untuk menerima banyak keistimewaan perubatan secara PERCUMA, seperti yang disenaraikandi sini. Semakin kerap anda menderma darah, semakin besar kemudahan perubatan yang akan diberikan.

Hak istimewa tersebut ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atas sumbangan berharga anda kepada masyarakat, dan juga bagi menggalakkan lebih ramai individu untuk menderma darah.

Keistimewaan perubatan tersebut hanya boleh dituntut, JIKA anda:

  • Penderma darah yang mememegang warganegara Malaysia.
  • Menunjukkan buku sijil pendermaan darah (Buku Merah) kepada pihak hospital/klinik/institusi kesihatan lain, sebelum mendapatkan rawatan.
  • Mendapatkan surat pengesahan dari Pusat Darah Negara terlebih dahulu (jika ingin dirawat di Hospital Kuala Lumpur sahaja)

Kemudahan wad bergantung kepada keadaan semasa. Jika wad yang dijanjikan telah penuh, anda akan ditempatkan di wad kelas lain yang sesuai.

Rekod pendermaan darah dalam MySejahtera

Mulai bulan Oktober 2022, aplikasi MySejahtera yang sebelum ini digunakan hanya untuk isu kesihatan berkaitan Covid-19, kini sudah boleh memaparkan Kad Penderma Darah digital.

Caranya mudah, iaitu pastikan aplikasi MySejahtera anda dikemaskini untuk versi yang paling terbaru.

Namun buat masa ini,kad digital tersebut hanya akan diberi dan dipaparkan JIKA anda pernah menderma darah di pusat pendermaan yang menggunakan sistemBlood Bank Information System(BBISV2) sahaja. Setakat ini, hanya 22 pusat kutipan darah dalamsenarai inisahaja yang memanfaatkan sistem tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia masih dalam proses untuk mengemaskini rekod pendermaan darah daripada Buku Merah ke dalam aplikasi MySejahtera. Oleh itu, bagi penderma darah yang belum menerima Kad Penderma Darah digital dalam MySejahtera, anda dinasihatkan untuk menyimpan dan membawa rekod derma darah manual (Buku Merah) anda pada setiap sesi pendermaan darah.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk soalan-soalan lazim berkaitan rekod pendermaan darah dalam MySejahteradi sini.

Adakah anda memerlukan pengiring untuk ke hospital atau klinik?

Pengiring perubatan sedia membantu anda dan orang yang tersayang. Pengiring perubatan kami bukan sahaja memastikan orang yang tersayang sampai ke destinasi dengan selamat malah juga membantu mereka dengan urusan seperti mengiring ke tandas, mencatatkan nasihat doktor dan pengambilan ubat-ubatan. Pengiring perubatan kami akan memastikan orang yang tersayang anda selamat dan selesa sepanjang perjalanan mereka.

Dapatkan konsultasi percuma sekarang!

References

8 Best Hari Raya Memories ‘90s Kids Can Relate

Caregiving Support

Makanan Tempatan Yang Perlu Dielakkan Untuk Pesakit Hipertensi

Caregiving Support

Senior Citizen Discounts & Privileges in Klang Valley

Caregiving Support

Tips to Maintain the Health and Wellness of Ageing Men

Perlukan Bantuan Penjagaan?

Jika anda atau ahli keluarga memerlukan bantuan penjaga untuk ibu bapa atau orang tersayang, kami sedia membantu.

🔍 Cari Penjaga Terlatih →

Kami menyediakan penjaga terlatih untuk:

  • Penjagaan harian (mandi, makan, mobiliti)
  • Penjagaan demensia dan Alzheimer
  • Penjagaan pasca-strok
  • Penjagaan paliatif

💬 WhatsApp Kami untuk konsultasi percuma.